Ukraine terima lebih banyak senjata

0
22
Volodomyr Zelenskiy

KYIV: Sekutu Barat pada Khamis menjanjikan berbilion dolar dalam bantuan senjata untuk Ukraine dan ada yang berjanji untuk menghantar kereta kebal yang diminta Kyiv jika Berlin bersetuju.

Bagaimanapun, Jerman tidak memberikan isyarat untuk membatalkan veto ke atas penghantaran yang dikhuatirinya mencetuskan kemarahan Moscow.

Isu itu dilihat mendominasi rundingan Jumaat di Jerman antara sekutu Barat di Ramstein, iaitu pangkalan udara Eropah utama Washington.

Bimbang akan musim sejuk memberi masa kepada tentera Rusia untuk berkumpul semula dan melancarkan serangan besar, Ukraine mendesak untuk mendapatkan kereta kebal tempur Leopard buatan Jerman, yang dipegang oleh pelbagai negara Nato tetapi pemindahannya ke Ukraine memerlukan kelulusan Jerman.

“Rakyat kita mati setiap hari,” kata Presiden Ukraine, Volodomyr Zelenskiy kepada agensi penyiar ARD Jerman lewat Khamis.

“Jika anda mempunyai kereta kebal Leopard, berikannya kepada kami,” tambahnya.

Ukraine memerlukan kereta kebal tersebut untuk mempertahankan diri, menawan semula tanah yang diduduki tetapi tidak merancang untuk menyerang Rusia, tambah Zelenskiy.

Canselor Jerman, Olaf Scholz iaitu seorang Demokrat Sosial enggan menghantar senjata yang dilihat sebagai provokasi terhadap Moscow.

Ramai sekutu Barat Berlin mengatakan bahawa kebimbangan itu tidak kena pada tempatnya, dengan Rusia sudah komited sepenuhnya untuk berperang dan berulang kali mengatakan pemindahan senjata Barat memanjangkan perang dan meningkatkan penderitaan di Ukraine.

Sumber Kerajaan Jerman sebelum ini berkata, Berlin membatalkan bantahannya jika Washington menghantar kereta kebal Abrams sendiri.

Sementara penasihat Zelenskyy, Mykhailo Podolyak menulis di Twitter; “Kepimpinan sebenar adalah kepimpinan melalui teladan, bukan memandang tinggi kepada orang lain. Tiada pantang larang.

“Dari Washington ke London, dari Paris ke Warsaw, anda mendengar satu perkara, Ukraine memerlukan kereta kebal.

Kereta kebal adalah kunci untuk menamatkan perang dengan betul,” tulisnya.

Menjelang pertemuan Ramstein, 11 negara Nato, termasuk Britain dan Poland, mereka menjanjikan sejumlah bantuan ketenteraan baharu di pangkalan tentera di Estonia pada Khamis.