PM Thailand hadiri sambutan Tahun Baharu Cina

0
25
Prayut Chan-o-cha

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha pada Khamis menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di wilayah Ratchaburi dan menyambut kunjungan pelancong China, lapor Xinhua.

Dalam ucapannya Prayut berkata persahabatan Thailand-China sudah berabad lamanya dan masyarakat Thailand mempunyai tradisi menyambut Tahun Baharu Cina.

Sejak terjalinnya hubungan diplomatik, Thailand dan China telah mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk kepentingan rakyat kedua-dua negara.

China baru-baru ini mengoptimumkan dasar Covid-19, rakyat Thailand bersedia dan tidak sabar untuk melihat ketibaan pelancong China, katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat tahun baharu dalam bahasa Cina di penghujung ucapannya, mendoakan kesejahteraan dan keberkatan kepada semua.

Kuasa Usaha sementara Kedutaan China di Thailand Yang Xin yang turut menghadiri acara itu turut menghadiahkan Prayut maskot “sampul merah” dan “beg keberuntungan” yang direka khas untuk Festival Musim Bunga tahun ini.

Sambutan di Ratchaburi akan berlangsung sehingga 23 Januari. Tahun ini kebanyakan tempat di Thailand termasuk Bangkok dan Phuket dijadual mengadakan sambutan “Selamat Tahun Baharu Cina dengan mengetengahkan pelbagai ciri keunikan,” katanya. -Bernama