Korea Selatan mansuh peraturan pelitup muka

0
24
MULAI 30 Januari, Korea Selatan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kebanyakan ruang tertutup, kecuali untuk pengangkutan awam dan di fasiliti perubatan. | AFP

SEOUL: Korea Selatan memansuhkan peraturan yang memerlukan orang ramai memakai pelitup muka di kebanyakan kawasan tertutup, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Mulai 30 Januari, ia tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kebanyakan ruang tertutup, kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan perubatan.

Pengumumam tersebut sekali gus akan menamatkan salah satu sekatan pandemik utama terakhir negara itu ketika kes Covid-19 menunjukkan penurunan.

MULAI 30 Januari, Korea Selatan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kebanyakan ruang tertutup, kecuali untuk pengangkutan awam dan di fasiliti perubatan. | AFP

Mandat pelitup muka dilaksanakan sejak Oktober 2020 dan merupakan salah satu sekatan terakhir era pandemik Korea Selatan, dengan peraturan lain daripada perintah berkurung perniagaan hingga penjarakan fizikal lama dimansuhkan.

Negara itu bagaimanapun masih mewajibkan mereka yang secara rasmi didiagnosis Covid-19 untuk mengasingkan diri selama tujuh hari.

“Penyesuaian mandat pelitup muka di ruang tertutup mandatori dilaksanakan mulai Isnin, 30 Januari, selepas cuti Tahun Baharu,” kata ketua Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, Jee Young-mee.

Sementara itu, Perdana Menteri Han Duck-soo berkata rancangan itu adalah untuk menukar mandat pelitup muka di kawasan tertutup daripada diperlukan kepada disyorkan, katanya pada mesyuarat respons Covid-19 kerajaan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keupayaan tindak balas perubatan yang kukuh di negara itu, penurunan jumlah kes kritikal dan kematian akibat koronavirus dan trend penurunan dalam jangkitan baharu.

“Faktor risiko luaran juga dinilai cukup terurus,” ujarnya, merujuk kepada tindak balas Seoul terhadap lonjakan kes di China baru-baru ini.

Awal bulan ini, Seoul melaksanakan pelbagai peraturan baharu untuk pelawat dari China, termasuk sekatan visa dan keperluan ujian saringan.

China minggu lalu menggantung pengeluaran visa jangka pendek kepada warga Korea Selatan, sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang dikenakan terhadap pelancong China atas kebimbangan wabak.

Hampir 30 juta rakyat Korea Selatan dijangkiti Covid-19 dan lebih 33,000 meninggal dunia, menurut data rasmi.

Negara itu dilanda salah satu wabak awal penyakit yang paling teruk di luar China, lokasi korona virus pertama kali dikesan. – AFP