Jangan cari dalil halalkan rasuah, kata UMNO kepada PAS

0
22
Isham Jalil

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mengingatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar janganlah mencari dalil untuk halalkan rasuah pengundi.

Menurut beliau jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihanraya?

“Sebelum pilihan raya atau semasa dalam kerajaan, untuk beri “sedekah” ini, mereka ambil rasuah dari projek kerajaan untuk guna duit tersebut bagi tujuan merasuah dan “sedekah” pengundi untuk menang pilihanraya bagi membentuk kerajaan serta mendapat jawatan kerajaan, dan ini adalah kitaran rasuah selain politik wang yang busuk dan teruk,’ katanya di Facebooknya.

“Semalam  Haji Hadi kata beri duit kepada pengundi (dengan balasan mereka undi PAS dan PN) semasa kempen pilihan raya itu adalah sedekah.

Jika ikut logik Haji Hadi ini, maka sesiapa pun bolehlah beri “sedekah” dan timbal balas “sedekah” itu tidak penting.

Oleh itu, jika kontraktor projek tebatan banjir yang dapat kontrak secara rundingan terus RM15 billion ingin beri duit kepada ahli-ahli politik PN atau PAS dalam kerajaan yang telah luluskan kontrak ini pun bolehlah dikategorikan sebagai “sedekah”,” katanya.

“Dan duit ini untuk mereka guna untuk “sedekah” kepada pengundi dalam pilihanraya.

Dan sebahagian duit dari dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion yang diberikan komisyen oleh kontraktor kepada broker kepada menteri atau ahli politik kerajaan PN yang sedang disiasat SPRM itu pun bolehlah dikira “sedekah”, jika “dalil” Hadi ini diguna pakai,” ujar Isham.

“Haji Hadi, beri duit kepada pengundi untuk membeli undi itu bukan sedekah, itu adalah suapan atau sogokan atau rasuah kepada pengundi.

Sedekah tidak ada timbal balasnya, ianya ikhlas diberi kepada orang yang memerlukan,” katanya.

Katanya lagi, jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ianya bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah atau lain-lain transaksi selain sedekah malah memberi duit kepada pengundi semasa pilihanraya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi Pas itu bukan sedekah, sebaliknya itu sogokan atau rasuah.