Inflasi Malaysia reda kepada 3.8 peratus

0
26
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022 didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan walaupun inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding dengan 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Jabatan itu menambah, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.2 pada Disember 2022 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya (7.3 peratus) telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

“Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding pada November 2022.

“Namun begitu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 (7.0 peratus),” katanya dalam kenyataan berkenaan Indeks Harga Pengguna, Malaysia Disember 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Beliau berkata kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5 peratus).

Begitu juga pendidikan dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus dan 1.3 peratus. Minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut masingmasing mencatatkan kenaikan marginal 0.7 peratus dan 0.4 peratus.

Mohd Uzir berkata peningkatan inflasi bagi keseluruhan 2022 didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus) serta pengangkutan (4.7 peratus).

“Konflik antara Rusia dengan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada 2022 telah menyumbang kepada kenaikan inflasi,” katanya.

Beliau berkata sementara itu, inflasi bagi suku keempat 2022 meningkat 3.9 peratus kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku sama tahun sebelumnya.

“Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 mereda kepada 0.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada November 2022.

Ini disumbangkan terutama oleh kumpulan restoran dan hotel (0.7 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.5 peratus),” katanya.

Beliau berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Peningkatan kumpulan ini terutama disebabkan oleh komponen makanan di rumah yang mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan kepada 4.9 peratus berbanding 5.8 peratus pada November 2022, manakala makanan di luar rumah meningkat 9.6 peratus berbanding bulan sebelumnya (November 2022: 9.6 peratus), katanya.

Mengulas inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir berkata empat negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.8 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.5 peratus), Sarawak (4.1 peratus) dan Johor (3.9 peratus).