Fokus prasarana, pelaburan digital

0
19
Fahmi Fadzil

MELAKA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memfokuskan kepada prasarana dan pelaburan digital serta keselamatan data dan siber pada tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata aspek prasarana akan memberi tumpuan kepada akses bagi kemudahan jalur lebar dan perkhidmatan telekomunikasi.

Beliau berkata pelaburan digital pula dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca-Covid-19 sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital di rantau Asean.

“Kalau sebelum ini kita banyak beri fokus kepada pembinaan pusat-pusat pemprosesan data, ke depan kita melihat juga kepada beberapa sektor lain (membabitkan pelaburan digital) dan ini akan diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerja Pelan Strategik KKD 2023-2025 dan Agenda KKD 2023 yang turut dihadiri Timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek.

Fahmi berkata antara fokus bagi pelaburan digital termasuklah ‘nomad pass’ dan DE Dagang yang secara tidak langsung dapat membawa masuk lebih banyak bakat-bakat baharu ke dalam negara.

MDEC juga, kata beliau akan meneroka beberapa sektor lain dalam pelaburan digital selepas ini.