Finland hantar artileri berat ke Ukraine

0
25
Mikko Savola

HELSINKI: Finland mengumumkan pada Jumaat pakej bantuan ketenteraan bernilai 400 juta euro kepada Ukraine, yang terbesar setakat ini dan termasuk artileri berat serta peluru tetapi tiada kereta kebal Leopard.

“Ukraine terus memerlukan sokongan dalam mempertahankan wilayahnya,” kata Menteri Pertahanan, Mikko Savola dalam satu kenyataan.

Penasihat khas Miikka Pynnonen memberitahu AFP, kementerian terbabit tidak mendedahkan maklumat lebih terperinci berkenaan kandungan pakej tersebut tetapi mengatakan bantuan itu tidak termasuk kereta kebal Leopard.

Ia merupakan pakej ke-12 peralatan pertahanan negara Nordic kepada Ukraine.

Nilai gabungan 11 pakej bantuan sebelumnya ialah 190 juta euro (kira-kira AS$205 juta).

Kementerian terbabit juga menyatakan Finland menandatangani sokongan untuk Ukraine bagi memastikan bantuan itu tidak membahayakan pertahanan negara kedua-dua negara.

“Finland membekalkan peralatan pertahanan ke Ukraine dan Sweden menyatakan kesediaannya untuk menyokong Finland apabila perlu,” kata kenyataan itu.

Pada Khamis, Sweden berjanji untuk menghantar sistem artileri Archer kepada Ukraine, sebuah howitzer mudah alih moden yang diminta oleh Kyiv selama berbulan-bulan, bersama-sama dengan kenderaan berperisai dan peluru berpandu antikereta kebal. – AFP