China banteras berita palsu Covid-19

0
23
PENUMPANG tiba di stesen kereta api Hongqiao di Shanghai pada 20 Januari 2023, ketika orang ramai pulang ke kampung halaman mereka untuk sambutan Tahun Baharu Cina. | AFP

BEIJING: Pengawal selia Internet terkemuka China memberi amaran untuk membanteras maklumat palsu berkenaan jangkitan Covid-19 sepanjang Tahun Baharu Cina dengan melancarkan kempen pembersihan selama sebulan.

Amaran daripada Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) itu dikeluarkan dua bulan selepas Beijing membuat keputusan mengejut untuk menarik balik hampir semua kawalan sifar Covid-19, mengakibatkan lonjakan jangkitan yang memberi tekanan serius terhadap sistem perubatannya.

Lapor South China Morning Post (SCMP) memetik kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya pada Selasa, CAC menekankan satu fokus kempen tahun ini ialah pembetulan mendalam maklumat palsu untuk mengelakkan penyebaran emosi yang suram.

PENUMPANG tiba di stesen kereta api Hongqiao di Shanghai pada 20 Januari 2023, ketika orang ramai pulang ke kampung halaman mereka untuk sambutan Tahun Baharu Cina. | AFP

Amaran itu dikeluarkan ketika ratusan juta rakyatnya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka sempena Tahun Baharu Cina.

Penghijrahan besar-besaran itu mencetuskan kebimbangan akan membawa satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 di negara berkenaan.

CAC berkata, ia akan menyiasat dan menangani maklumat yang sengaja direka berkenaan trend wabak dan dasar pencegahan terkini, resipi rahsia antivirus palsu dan pengalaman pesakit dan lain-lain untuk mengelakkan orang ramai daripada terpedaya dan menyebabkan panik sosial.

Dalam dua bulan lalu, Internet China dibanjiri dengan aduan berkaitan hospital yang sesak dan kakitangan perubatan yang terlalu banyak bekerja manakala krematorium pula dilaporkan lebih sibuk daripada biasa.

Pengguna Internet juga mengatakan mereka tidak dapat ubat yang diperlukan.

CAC berkata ia juga membanteras percubaan dalam talian yang disengajakan untuk mencetuskan kebencian serantau, menyebarkan kebimbangan dan membesar-besarkan sisi gelap masyarakat.

Pengawal selia Internet China juga berkata ia mengawasi maklum balas dalam talian berkenaan gala tahun baharu penyiar kebangsaan, sebuah rancangan yang mencampurkan hiburan dengan mesej propaganda berkenaan dasar utama negara.