BNM dijangka tangguh keputusan kadar faedah

0
28
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menangguhkan keputusannya berhubung kadar faedah dan mengekalkan kadar dasar kelmarin (OPR) tidak berubah pada 2.75 peratus bagi separuh pertama 2023, menurut beberapa cabang penyelidikan.

Penyelidikan oleh Public Investment Bank Bhd menjangkakan kadar faedah itu dinaikkan 25 mata asas (bps) lagi kepada 3.0 peratus pada separuh kedua 2023, namun bergantung sepenuhnya kepada langkah dasar domestik seperti kemungkinan pengenalan subsidi bahan api bersasar, kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global.

“Melangkah ke hadapan, memandangkan BNM menekankan risiko penurunan ketara dengan kemungkinan berlaku peralihan daripada pertumbuhan global yang semakin perlahan, kami menjangkakan sebarang perubahan ke atas OPR bergantung kepada sejauh mana prestasi ekonomi domestik,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Dalam erti kata lain, cabang penyelidikan ini yakin keutamaan telah berubah sedikit kepada menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam dwimandat BNM iaitu untuk mencapai keseimbangan di antara inflasi yang stabil dengan pertumbuhan ekonomi.

Semasa mesyuarat pertama bagi 2023 pada Khamis, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan OPR dikekalkan tidak berubah pada 2.75 peratus, bertentangan dengan jangkaan pasaran iaitu kenaikan sebanyak 25 bps kepada 3.0 peratus, sekali gus menamatkan rentetan kenaikan 25 bps menerusi empat mesyuarat MPC tahun lepas.

Selepas menaikkan OPR sebanyak 100 bps pada empat mesyuarat berturut-turut, BNM memberi petunjuk bahawa sebarang penormalan seterusnya kepada tahap akomodasi dasar monetari akan diketahui menerusi keadaan yang berubah dan implikasinya kepada inflasi domestik dan prospek pertumbuhan.

Penyelidikan oleh CGS-CIMB Securities pula menjelaskan persoalan utama kini adalah mengenai langkah bank pusat seterusnya.

Ini memandangkan BNM menyatakan ia ‘belum selesai’ dan keputusan menangguhkan kenaikan itu adalah bagi ‘menilai kesan kumulatif terhadap pelarasan OPR yang lepas’, tambahnya.

“Kami melihat ini sebagai menggambarkan unjuran berhatihati BNM untuk bergerak ke hadapan.

“Pada pandangan kami, wujud ketidaktentuan pada masa akan datang, berdasarkan pendirian bank-bank pusat di peringkat global yang semakin cenderung kepada kadar faedah rendah, Belanjawan Malaysia 2023 yang baharu akan dibentangkan pada Februari serta pembukaan semula China baru-baru ini, yang BNM mungkin mahukan kejelasan sebelum keputusan seterusnya,” tambahnya firma pembrokeran itu.

Menurut CGS-CIMB Securities hala tuju dasar monetari masih meningkat namun kenaikan kadar faedah mungkin hanya berlaku pada separuh kedua 2023.

“Belanjawan 2023 mungkin tidak memberikan banyak kejelasan dari segi keputusan berhubung cukai dan subsidi baharu,” katanya. – Bernama