Sumbat mayat ke dalam guni

0
29

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dihadap ke Mahkamah Majistret Bau semalam, atas pertuduhan membunuh kanak- kanak kelainan upaya berusia enam tahun dengan menyumbat mayat mangsa ke dalam guni sebelum dibuang ke dalam semak di Kampung Keranji, November tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia 35 tahun, selepas satu pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Seksyen terbabit membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Keranji, Siniawan, sekitar jam 7.00 malam, 20 November 2022.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Mac depan sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan perubatan tersedia. Selain itu, tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan reman dilanjutkan sehingga tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan terdahulu, Ketua Polis Daerah Bau Supt Poge Nyaon menyatakan bahawa tertuduh telah memukul mangsa hingga mati sebelum dicampakkan ke dalam semak.

Kejadian terbabit dipercayai berlaku sekitar lima hari sebelum ibu mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya. Tertuduh akhirnya berjaya ditangkap oleh polis di sebuah kedai menjual komponen kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho pada 4 Januari lalu.

Pada hari yang sama, sekitar jam 6.45 petang, pihak polis telah dibawa oleh tertuduh sendiri menuju ke lokasi mayat kanak- kanak itu dibuang. Ibu mangsa turut mengesahkan mayat kanak- kanak berkenaan adalah anaknya berdasarkan pakaian yang diguna dan anak patung yang dipegang mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut. Terdahulu, ibu mangsa turut ditangkap untuk siasatan lanjut sebelum menjadi saksi pendakwaan. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak Shahrizat Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.