Reaksi keluar wang KWSP

0
26
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) FOTO:FB

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengeluarkan kenyataan yang beliau sedang mencari inisiatif lain untuk membantu rakyat selain daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri sedang dalam usaha membantu rakyat yang sedang terhimpit wang dan kos sara hidup yang tinggi.

Kenyataan itu memberi pelbagai implikasi dan pandangan rakyat terutamanya golongan netizen di media sosial.

Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang membantah dan mengatakan Perdana Menteri daripada Kerajaan Perpaduan itu tidak mendengar rintihan hati rakyat.

Secara peribadi, saya bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri itu, kerana pengeluaran wang caruman KWSP bukan satu-satunya jalan penyelesaian kemelut kos sara hidup yang tinggi dihadapi kita sekarang.

Namun, saya tidak boleh bersikap bias terhadap mereka yang sangat mengharapkan pengeluaran wang KWSP ini.

Sudah tentu mereka mempunyai alasan munasabah mahu mengeluarkan wang berkenaan. Dalam analisis sebelum ini, saya ada menerangkan mengapa pencarum ingin mengeluarkan wang berkenaan dan salah satu sebab adalah bagi menyelesaikan masalah hutang dan meringankan beban kos sara hidup.

Analisis tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pembaca, ada yang berkata penulis tidak berada dalam keadaan mereka, ada juga yang berkata, wartawan hanya pandai menulis tetapi tidak memahami dan ada pula yang berkata, mereka sangat memerlukan pengeluaran wang KWSP ini.

Namun begitu, ada juga pembaca yang berkata, bersyukur dan berterima kasih akhirnya ada wartawan yang menyuarakan rintihan dan suara hati mereka supaya didengari pihak yang berkenaan.

Oleh sebab itu, pada analisis kali ini, saya lanjutkan beberapa sudut berkenaan pengeluaran wang KWSP supaya memberi gambaran sama ada kesan, implikasi dan tujuan tindakan kerajaan mengenai isu tersebut. Melihat untuk jangka masa panjang, pengeluaran wang KWSP pada masa ini akan memberi masalah kepada kita sebagai pencarum untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Walaupun caruman yang kita simpan rata-ratanya sekitar tidak kurang RM200 sebulan, caruman itu terbahagi kepada dua akaun sebenarnya. Menurut laporan berita pada April 2022, seramai 5.3 juta rakyat Malaysia yang memohon pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 iaitu i-Citra.

Ini memberi implikasi pengeluaran wang sebanyak RM40.1 bilion. Sekitar tahun 2020, bagi pengeluaran wang KWSP yang disebut i-Lestari pula terdapat 5.16 juta permohonan diterima.

Pengeluaran wang KWSP melalui i-Lestari ini adalah pengeluaran wang berjumlah RM500 selama 12 bulan daripada akaun kedua caruman KWSP. Ini melibatkan implikasi pengeluaran wang sebanyak RM18.1 bilion.

Dengan tiga pengeluaran khas KWSP sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra KWSP telah memberi manfaat kepada 7.34 juta ahli KWSP yang mana 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun. Ini bererti KWSP telah mengeluarkan atau membayar wang tersebut kepada ahli sebanyak RM101 bilion.

Melihat kepada situasi ini, seramai 7.34 juta ahli yang telah mengeluarkan wang KWSP mereka ini berkemungkinan tidak mempunyai jumlah caruman yang positif di dalam akaun kedua.

Ini yang menjadi kerisauan kerajaan sehingga Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mencari inisiatif lain selain pengeluaran wang KWSP kita.

Tindakan dan keputusan Perdana Menteri itu adalah demi menyelamatkan kita pada 20 ke 30 tahun akan datang.

Bayangkan, apa yang boleh kita banggakan dengan mengeluarkan beberapa ribu sahaja daripada KWSP pada umur 60 tahun nanti? Tidak dinafikan memang ramai golongan B40 mengharapkan pengeluaran wang KWSP ini untuk meringankan bebanan mereka sekarang.

Ada yang terdesak sehingga melakukan pelbagai perbuatan yang tidak patut. Jika dilihat, beberapa hari lalu, keluar di akhbar tempatan seorang wanita secara tidak sengaja menjadi keldai akaun apabila meminjamkan tiga kad bank miliknya kepada rakan yang menjanjikan bayaran kepada peminjam sebanyak RM200 satu kad. Ada yang sanggup menjadi keldai dadah, mencuri, menipu, merompak, malah membunuh.

Lebih parah, ada yang sanggup membunuh diri kerena terlalu tertekan dengan kehidupan yang susah, tiada tempat bergantung dan tiada pendapatan. Tanpa memikirkan perasaan orang lain, ada individu mengambil langkah drastik sedemikian kerana kesempitan hidup.

Orang selalu berkata, jika bukan berada di tapak kasut saya jangan bercakap besar dan seperti kamu tahu segalanya tentang saya. Ini ada betulnya, namun tidak salah untuk kita saling membantu, memberi nasihat dan memberi semangat kepada orang sekeliling.

Dengan kehidupan yang semakin mencabar kini peka terhadap keadaan sekeliling amat penting supaya kita dapat hidup aman dan harmoni. Adalah lebih baik sekiranya kita membantu satu sama lain, bekerjasama, berusaha, melakukan yang terbaik dan sebagainya dahulu berbanding mengharapkan pengeluaran wang KWSP itu.

Mungkin suatu hari nanti apabila keadaan kita membaik, pengeluaran wang itu dirasakan tidak perlu lagi. Berhentilah mendesak kerajaan untuk membenarkan pengeluaran wang tersebut kerana kerajaan lebih tahu tentang pentadbiran negara ini dan sudut yang perlu diberikan perhatian.