Lebih banyak tuntutan selesai

0
30
Datuk Seri Hajiji Noor

KUCHING: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin lebih banyak perkara dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dapat diselesaikan selepas ini.

Beliau yakin dengan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan tekadnya menyelesaikan perkara berkaitan MA63 dengan secepat mungkin.

Ia terbukti dengan penyerahan kuasa mengurus sumber minyak dan gas kepada Sabah baru-baru ini.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, pertamanya, Sabah telah menerima kuasa gas baru-baru ini dan banyak lagi perkara berkaitan dengan Sabah telah dipertimbangkan.

“Walaupun ada lagi isu memerlukan perbincangan lanjut terutama hal berkaitan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita amat yakin di bawah pimpinan
Perdana Menteri, kita dapat menyelesaikan banyak perkara isu MA63,” katanya.

Sementara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengulas pasca-Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata, fokus selepas ini tertumpu kepada proses pelaksanaan.

“Ini tentang pendekatan lain, perkara yang sudah termaktub (dalam MA63) cuma hanya tinggal untuk melaksanakan sahaja.

“Umpamanya Sabah dan Sarawak, (penyerahan kuasa melaksanakan) projek RM50 juta ke bawah dikatakan had siling boleh dinaikkan tetapi yang penting integriti melaksanakan projek tersebut dalam perolehan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin Sabah dan Sarawak itu berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.