Anwar puji perpaduan rakyat Sarawak, satu pengiktirafan

0
35
Datuk Peter Minos

KUCHING: Pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perpaduan di Sarawak merupakan satu pengiktirafan kepada negeri ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos berkata, ia juga merupakan satu perkara yang menggembirakan buat rakyat Sarawak.

“Ia jelas menunjukkan bahawa sememangnya wujud keharmonian kaum, agama dan persefahaman serta toleransi dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Anwar pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menyeru agar rakan-rakan di Semenanjung Malaysia untuk belajar pengalaman perpaduan dari Sarawak.

Sehubungan itu, tambah Minos sudah tentu rakyat Semenanjung Malaysia boleh melihat perpaduan tersebut ketika mereka datang melawat atau bekerja di negeri ini.

“Jika mereka berminat untuk belajar, ia boleh dilihat dengan mudah bahawa orang Sarawak pada umumnya sangat terbuka dalam isu perkaumnan dan agama.

“Rakyat di negeri ini juga saling menerima asal usul dan agama orang lain sekali gus mengamalkan sikap hormat-menghormati.

“Itu adalah cara rakyat Sarawak… ia juga sebagai pendorong dan boleh dicontohi oleh rakyat Semenanjung Malaysia,” ujarnya.