SIRIM tingkatkan eksport nangka

0
19

SHAH ALAM: SIRIM Berhad (SIRIM) kini dalam proses meningkatkan eksport buah nangka ke pasaran antarabangsa untuk mengkomersialkan buah tersebut sebagai sumber makanan pengganti daging.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata berdasarkan permintaan dari Eropah, buah nangka kini diterima sebagai alternatif kepada daging untuk individu yang mengamalkan diet ‘vegetarian’.

Katanya inisiatif tersebut akan dibantu oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Bagi inisiatif itu, nangka dari sebuah kebun di Rawang berkeluasan 161.87 hektar telah dikenal pasti untuk dieksport ke luar negara, katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Penyelesaian Perniagaan Holistik SIRIM-DSR dari Dusun kepada Pengguna bagi Durian Musang King di Ibu Pejabat SIRIM Berhad di sini.

Pada majlis itu, SIRIM menyerahkan Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Pasaran; DSR01:2022 Standard DSR Durian Musang King dan Sistem Pengesanan Bersepadu Musang King (MKITS) kepada syarikat DSR Taiko Berhad.

Dalam pada itu, Ahmad Sabirin berkata terdapat sebuah syarikat yang telah mengusahakan produk ‘patty’ yang diperbuat daripada nangka dan telah dieksport ke Eropah hasil tambah baik daripada SIRIM.

“Kita juga akan menghantar (eksport) produk ‘patty’ itu ke Amerika Syarikat dan SIRIM membantu dari segi nilai kalori, kebersihan dan nilai tambah yang ada termasuk Amalan Perkilangan Baik (GMP) bagi industri tersebut,” katanya. – Bernama