Promosi kaedah tanaman moden

0
15
Datuk Francis Harden Hollis

SIMANGGANG: Jabatan Pertanian diseru lebih agresif mempromosikan kaedah tanaman cara baharu dan moden dalam kalangan petani agar mereka berupaya mengubah taraf hidup.

Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, dunia termasuk Sarawak kini banyak bercakap tentang pertanian moden.

“Sesuai aspirasi Sarawak, saya mengharapkan Jabatan Pertanian terutama di Bahagian Sri Aman agar lebih agresif mempromosikan kaedah baharu dalam industri tanaman untuk mendapatkan hasil yang optimum, berkualiti sesuai permintaan pasaran,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat itu berkata demikian seusai sesi perjumpaan bersamasama warga Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman di sini.

Jelasnya, tindakan bersepadu jabatan itu diyakini mendatangkan impak positif yang berupaya mengubah taraf hidup masyarakat ke arah lebih baik.

Beliau berharap Jabatan Pertanian komited memartabatkan aktiviti pertanian dan mewujudkan “anchor farm” yang boleh menjadi contoh kepada petani dan penternak di luar bandar.

Bidang kuasa Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman merangkumi daerah Sri Aman, Pantu, Lubok Antu, Lingga dan Daerah Kecil Engkilili.

Terdahulu, Harden dan warga Jabatan Pertanian diketuai John Jadol membincangkan tentang laporan aktiviti dan bantuan tahun lepas.

Selain menyentuh perancangan jabatan itu pada masa akan datang untuk membantu golongan petani dan penternak.