Pencuri hubungi 911 untuk bantu dia angkat barang curi

0
35

 

POINCIANA: Baru-baru ini polis menahan dua individu selepas salah seorang daripada mereka bertindak menghubungi talian kecemasan 911 bagi mendapatkan bantuan mengangkat barang dari rumah yang di pecah masuk oleh mereka.

Menurut pihak berkuasa Florida, mereka menerima panggilan dari sebuah rumah, tetapi apabila dijawab tiada sesiapa yang bercakap.

Setibanya mereka di lokasi, pihak berkuasa membuat kesimpulan tiada sesiapa yang tinggal di sana, tetapi mereka menemui suspek lelaki dan teman wanitanya di dalam rumah terbabit selepas memasukinya melalui pintu yang tidak berkunci.

Apabila disoal siasat, teman wanitanya memberitahu mereka bahawa dia telah menghubungi 911 bagi tujuan meminta penguatkuasaan undang-undang membantu mereka memindahkan barang-barang dari rumah tersebut.

Mereka juga ingin mendapatkan tumpangan ke lapangan terbang supaya mereka boleh menghabiskan hujung minggu di New York, kata pegawai pejabat sheriff dalam catatan Facebook mereka.

“Pihak berkuasa membantu mereka mengalih barangan tersebut dan juga memberi khidmat tumpangan, namun bukan ke New York sebaliknya ke penjara Polk Pokey, lapor pihak pejabat shetiff lagi.

Anggota polis mencari suspek lelaki itu selepas mengenal pasti dia daripada CCTV sebagai pencuri di kedai Dollar General di Poinciana, Florida pada hari yang sama.

Suspek lelaki didakwa atas kesalahan pecah rumah dan curi di kedai Dollar General dan juga pecah rumah kediaman.

Manakala, suspek wanita itu didakwa atas kesalahan pecah rumah kediaman, menurut pejabat sherif seperti dipetik AP.