MKT Umno: Semasa jadi pembangkang siapa pun boleh bercakap, syok bercakap

0
23
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan mereka pemimpin PH bahawa kerjasama yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan adalah ibarat jambatan besi yang menggunakan banyak skru dan bukannya jambatan konkrit.

“(Kerajaan hari ini ibarat) jambatan segera pakai besi. Banyak skruu. Kalau tercabut, cepatlah runtuh.

“Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya di Facebook, hari ini.

Shabery menasihati mereka supaya menjadikan apa yang berlaku kepada kerajaan PH selepas pilihan raya ke-14 pada 2018 apabila mereka berjaya membentuk kerajaan sebagai iktibar.

Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bertahan selama 22 bulan.

Tegasnya, virus yang menyerang kerajaan PH ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka.

“Semasa pembangkang siapa pun boleh bercakap dan syok bercakap. Tak payah disiplin,” katanya.

“Jadi kerajaan susah sikit. Sebab orang nak tengok bila Ringgit nak sama seperti 2018, bila pasaran saham nak melonjak semula seperti sebelum 2018, bila pelabur datang berduyun-duyun seperti dulu. Berapa tinggi pulak dividen Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Amanah Saham Bumiputera (ASB). Paling susah fasal ayam dan telur.

“Susah semua ni. Kena ada formula yang betul dan kena kerja kuat kurang cakap. Bukan cari fasal dengan rakan-rakan yang sama-sama dalam kerajaan,” katanya.