Guru berdepan risiko keselamatan

0
34
ZULKIFLEE Sebli

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melantik bank-bank komersial sebagai pihak yang menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid- murid sekolah di seluruh negara.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini terutamanya risiko sekolah dipecah masuk dan disamun.

“KGBS bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan tetapi agak terkilan kerana pihak sekolah dan guru-guru dibebankan dengan tanggungjawab serta risiko dalam menyalurkan BAP ini setiap tahun.

“Dengan jumlah yang besar melibatkan wang tunai beratus ribu, guru-guru berdepan dengan risiko keselamatan apabila berurusan dengan pihak bank dan juga sewaktu mengagihkan bantuan berkenaan.

“Malah, jumlah wang tunai yang banyak terpaksa disimpan di dalam peti besi sekolah akan menambah risiko sekolah dipecah masuk dan juga samun,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kg. Rinching, Beranang, Semenyih yang disamun pada Isnin selepas mengeluarkan sejumlah RM109,000 wang BAP untuk diagihkan kepada murid-murid sekolah terbabit.

“Kita tidak mahu kes sebegini berlaku lagi. Risiko untuk guru dirompak dan kehilangan nyawa sewaktu mengeluarkan wang BAP atau mana-mana bantuan yang melibatkan wang tunai pasti sangat tinggi.

“Walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran yang diberi oleh KPM, ia tetap memberi risiko tinggi kepada kami.

“Justeru, diharap dengan melantik bank-bank ini, bantuan tunai dapat diagihkan terus melalui akaun- akaun bank ibu bapa atau penjaga murid-murid,” jelas Zulkiflee.

Tegasnya, inisiatif itu sekali gus dapat mengurangkan risiko wang dirompak selain mengurangkan bebanan tugas guru.

“KGBS berharap kerajaan dan KPM dapat mempertimbang cadangan ini agar jenayah seumpamanya tidak berlaku lagi,” ujarnya.

Terdahulu, pada kejadian jam 12.17 tengah hari pada Isnin, guru besar lelaki berusia 50 tahun yang berseorangan ketika kejadian telah mengeluarkan wang BAP berjumlah sekitar RM109,000 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih.

Selepas selesai urusan, mangsa meninggalkan wang itu yang disimpan di dalam sebuah beg, di dalam keretanya jenis Toyota pada bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang, sebelum ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

Selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin kereta miliknya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai tersebut telah dicuri.

Untuk rekod, seramai tiga juta murid yang memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tanpa mengira had pendapatan ibu bapa akan menerima BAP bernilai RM150 seorang bermula 16 Januari lalu.