Wanita jadi mangsa keldai akaun, pinjamkan tiga kad bank kepada rakan

0
44
Milton menunjukkan surat arahan lapor diri yang diterima oleh mangsa Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada Jumaat lalu.

KUCHING: Seorang wanita tempatan menjadi mangsa keldai akaun apabila meminjamkan tiga kad bank kepada rakannya September lalu.

Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Milton Foo berkata, akibat masalah kewangan dan mempunyai dua orang anak kecil, mangsa berumur 21 tahun yang ingin dikenali sebagai Lau membenarkan rakannya, seorang lelaki menggunakan kad banknya serta dijanjikan bayaran RM200 bagi setiap akaun bank.

Akibat tindaknya itu, katanya, mangsa menerima surat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk melapor diri bagi membantu siasatan.

“Mangsa menerima surat tersebut pada Jumaat lalu mengarahkan mangsa untuk melapor diri di Balai Polis Kg Baru Subang, Selangor jam 10 pagi hari ini.

“Disebabkan mangsa tidak dapat terbang ke sana, dia datang berjumpa dengan saya pada semalam dan saya menasihatkan dia untuk datang ke balai polis yang terdekat,” katanya kepada media selepas membantu mangsa membuat laporan di Balai Polis Padungan di sini hari ini.

Milton berkata, surat tersebut turut menyatakan bahawa sekiranya gagal melaporkan diri pada masa dan tarikh yang ditetapkan, pihak polis akan melaporkan kepada pihak Majistret untuk permohonan pengeluaran waran.

Beliau memberitahu, mangsa kemudiannya telah dirujukkan ke Balai Polis Sungai Maong, di sini untuk melapor diri dan memberi keterangan.

Beliau berkata, mangsa dijadikan sebagai medium dalam sindiket penipuan tersebut justeru perlu melaporkan diri kepada pihak polis agar siasatan dapat dijalankan untuk mengesan penerima akhir wang tersebut.

Malah katanya, mangsa lansung tidak menerima bayaran yang dijanjikan sebaliknya kesemua bank akaunnya dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dia hanya meminjamkan tiga kad bank dan dijanjikan bayaran RM600 tetapi keenam-enam kad bank dimilikinya dibekukan dan tidak dapat digunakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Milton mengingatkan orang ramai untuk tidak memberikan kad bank kepada mana-mana individu untuk apa-apa tujuan.

Katanya, membenarkan akaun bank digunakan oleh pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan membabitkan kes polis yang serius.

“Anda membantu penipu meskipun anda tidak berniat dan tidak mempunyai pengetahuan berhubung sindiket tersebut.

“Anda mungkin tidak berasa bersalah namun tindakan meminjamkan akaun bank menyebabkan orang lain menanggung kerugian dan anda dieksploit oleh kumpulan penipu ini,” ujarnya.

Justeru katanya, orang ramai harus berwaspada dan berhati-hati serta tidak sesekali meminjamkan kad bank kepada orang lain.