Muhyiddin pun tak terlepas daripada pengadilan, kata Isham

0
30

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata tiada sesiapa dalam kalangan rakyat Malaysia akan terlepas daripada proses pengadilan termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, ini kerana telah banyak laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat membabitkan Muhyiddin berkenaan skandal rasuah ketika pemimpin itu menjadi Perdana Menteri.

“Banyak laporan polis dan SPRM telah dibuat. Pihak berkuasa sedang menyiasat dan saya percaya mereka sedang tunggu Muhyiddin untuk beri keterangan. Rakyat pun sedang tunggu. Sila jawab hal ini kepada rakyat, jangan lari ke luar negeri lagi. Sesiapa pun tidak boleh terlepas dari pengadilan.

“Jika dahulu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Najib Razak tidak dibenar ke luar negeri, pasport dirampas, rumahnya digeledah dan rumah arwah bondanya dipecah oleh kerana kes RM2.6 bilion.

“Kali ini kes RM92.5 billion berkaitan Muhyiddin ini adalah berpuluh kali ganda lebih besar dari itu dan adalah skandal rasuah dan salah guna kuasa yang terbesar dalam sejarah Malaysia, oleh itu takkan Muhyiddin tidak mahu jawab hal ini dan bersenang lenang bercuti ke luar negeri dan berjumpa delegasi-delegasi asing sahaja?” soalnya di Facebook.

Kata Isham lagi, sejak berminggu-minggu Muhyiddin berada di London dan sudah berada di tanah air namun sehingga kini masih tidak menemui SPRM bagi memberi keterangan membabitkan RM92.5 billion tersebut.

“Sejak berminggu lepas netizen bertanya di mana Muhyiddin dan adakah dia masih berada di London sejak akhir tahun lepas, tapi dia tidak jawab. Semalam saya tanya di Facebook adakah dia sudah pulang ke Malaysia, dan lewat malam semalam baru dia jawab di Facebook bahawa dia sudah ada di KL jumpa delegasi Singapura.

“Saya ingin tanya Muhyiddin, alang-alang sudah balik ke Malaysia setelah berminggu-minggu di London, bila mahu berjumpa SPRM pula?,” ujarnya.

“SPRM tentunya ingin berjumpa Muhyiddin untuk ambil keterangan berkenaan kes RM92.5 billion dana kerajaan semasa darurat, kes PN rasuah pengundi, kes projek rundingan terus RM1.16 billion kepada syarikat menantu, dan juga bantu jawab kes rundingan terus projek tebatan banjir RM15 billion oleh kementerian air,” ujar beliau.