Invois palsu: SPRM Sarawak tahan DSP, Inspektor 

0
30
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) FOTO:FB

KUCHING: Dua pegawai polis termasuk seorang Deputi Superintendan (DSP) merupakan antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka menurut kenyataan SPRM  ditahan kerana disyaki mengemukakan dan menggunakan invois yang mengandungi butir matan palsu berjumlah RM19,980.00.

Jelasnya lagi, dua lagi yang turut ditahan ialah seorang Inspektor dan pengurus syarikat.

“Maklumat diterima mengatakan pada 2019, pengurus syarikat telah bersubahat dengan dua pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau.

Katanya, mereka telah  mengemukakan dan menggunakan dokumen invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah RM19,980.00 melibatkan kerja-kerja perkhidmatan dan pembaikan bangunan di pejabat berkenaan walhal kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kata kenyataan itu lagi, pengurus syarikat akan direman di Mahkamah Sibu pada pukul 9 pagi esok manakala dua pegawai polis berkenaan akan direman di Mahkamah Kuching.