Indeks jenayah tahun 2022 di Kuching menurun

0
26
Asisten Komisioner Ahsmon Bajah

KUCHING: Indeks jenayah bagi tahun 2022 di daerah ini menurun sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sebanyak 831 kes dilaporkan pada tahun 2022 berbanding 933 kes pada tahun 2021 dengan penurunan sebanyak 102 kes.

Manakala bagi indeks bukan jenayah katanya, terdapat penurunan sebanyak 35.98 peratus iaitu 653 kes pada tahun 2022 berbanding 1020 kes pada tahun 2021.

“Jenayah curi kenderaan (Lejang) menyumbang 101 kes dengan peningkatan 104 kes.

“Diikuti kes samun yang menyumbang 30 kes dengan penurunan sebanyak dua kes dan pecah rumah merekodkan 41 kes yang menurun sebanyak 99 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tangkapan, Ahsmon berkata, sebanyak 4,238 tangkapan direkodkan sepanjang tahun 2022 menerusi operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

“Sebanyak 9,161 kertas siasatan telah dibuka dan dari jumlah itu, sebanyak 82 peratus telah diselesaikan,” katanya.

Beliau memberitahu, sepanjang 2022, sebanyak 14,162 rampasan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bernilai RM954,738.

Sementara katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah merampas 14.92 kg dadah yang bernilai RM692,011 tahun lalu.

Bagi kesalahan trafik, beliau berkata, sebanyak 59,857 saman dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching tahun lalu membabitkan kutipan saman sebanyak RM1,264,400.