Bantu tangani cabaran ekonomi, sosial

0
19
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Negara maju dan yang sedang membangun perlu bersama-sama di peringkat dua hala, serantau dan pelbagai hala memulakan perjalanan panjang bagi mencapai pembangunan mampan dalam jangka masa panjang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata usaha bersama oleh negara di seluruh dunia akan membantu menangani cabaran ekonomi dan sosial serta bersedia untuk masa depan yang lebih baik.

“Kita perlu menggandakan usaha untuk membuat kemajuan yang lebih besar dalam mencapai ekonomi global baharu yang berasaskan prinsip kemampanan, keterangkuman dan daya tahan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Voice of Global South yang diadakan secara maya.

Sidang kemuncak itu dihoskan oleh India, yang merupakan pengerusi semasa bagi forum antara kerajaan G20.

Tengku Zafrul berkata tahun ini dijangka menjadi tempoh yang lebih sukar bagi ekonomi global kerana dunia masih bergelut dengan pandemik dan cabaran hebat, yang dibentuk oleh kesan berpanjangan daripada pergeseran geopolitik yang masih jauh dari penyelesaian, krisis kos sara hidup ekoran tekanan inflasi yang berterusan, serta potensi kelembapan atau bahkan kemelesetan di beberapa ekonomi utama.

Justeru, Malaysia sebagai negara perdagangan akan terus memastikan perdagangan dan pelaburan kekal pemacu utama untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya, memulihkan keyakinan pelabur untuk meningkatkan pelaburan langsung asing, selain meneruskan komitmen dalam sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, katanya.

“Malaysia akan terus terlibat secara konstruktif di forum serantau dan pelbagai hala serta kekal terbuka untuk meneruskan perjanjian perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi secara aktif, yang akan membawa faedah ketara kepada negara yang mengambil bahagian,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia juga sedang melabur dalam kemampanan dan ekonomi hijau.

“Memandangkan harapan terhadap kemampanan dan agenda hijau meningkat, Malaysia juga merasai tekanan besar untuk membuktikan kelayakan kemampanannya dan terus menjadikan perkara itu sebagai bahagian penting dalam saranan nilai.

“Bagi tujuan ini, kerajaan membuat komitmen untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kemampanan alam sekitar dengan menyegerakkan pembangunan ekonomi kami dengan aliran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global,” katanya.

Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia, yang dilancarkan tahun lepas, dirangka dengan prinsip ESG sebagai terasnya.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini menerajui penggubalan Kerangka Kebangsaan ESG Industri untuk sektor pembuatan, dengan penekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu PKS mematuhi prinsip ESG. – Bernama