Apa implikasinya apabila Zahid tidak dicabar sebagai Presiden?

0
23
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Umno melakarkan prestasi terburuk dalam sejarahnya apabila hanya memenangi 26 kerusi yang ditandinginya dalam PRU-15.

Sebahagian daripada punca kekalahan teruk itu ialah kepimpinan parti yang dipersepsi tercalar oleh salah guna kuasa dan rasuah.

Dengan kekalahan itu, terdapat gesaan dari dalam parti supaya terdapat perubahan kepemimpinan untuk membawa Umno ke hadapan. Tetapi harapan itu tidak menjadi kenyataan apabila perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu mengambil pendirian menghalang dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan.

Mengikut perlembagaan parti itu, pemilihan parti sepatutnya diadakan setiap tiga tahun. Kali terakhir pada 2018, sebanyak 150,000 perwakilan mengundi untuk memilih pemimpin baharu di peringkat bahagian dan pusat.

Jawatan Presieen Umno pernah dicabar pada 1987 yang menyaksikan persaingan sengit antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mahathir menang hanya dengan 43 undi, dan kesudahannya perpecahan berlaku, dan Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46, dan Umno diisytiharkan tidak sah.

Maka terbentuklah Umno Baharu.

Mengikut laporan, usul yang dikemukakan oleh Umno Negeri Sembilan pada Jumaat disambut teriakan ‘boo’ oleh para perwakilan di dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Usul yang disokong oleh Bahagian Umno Marang itu kemudiannya menerima sorakan yang sama. Apakah maknanya itu semua?

Situasi itu menggambarkan terdapat dua pendirian. Sebahagian mahu pertandingan, manakala sebahagian lagi enggan berbuat demikian.

Yang jelas, ada suara yang mahu berlakunya perubahan kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden.

Namun, berdasarkan undi suara dan jumlah yang berdiri dan mengangkat tangan semalam, lebih daripada 90 peratus perwakilan menyokong usul tambahan supaya tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi.

Apakah rasionalnya keputusan itu diambil ketika jawatan lain ditandingi?

Justifikasi untuk mengelak perpecahan dan demi kestabilan sukar dipertahankan ketika jawatan lain semua dipertandingkan.

Jika alasan itu diterima, bermakna tidak akan mungkin berlaku sebarang pertandingan dalam mana-mana parti politik atau sebarang pertubuhan.

Ya, pasti akan ada yang sabotaj, merajuk, kecewa dan sebagainya.

Tetapi bukankah itu sesuatu yang biasa dalam pemilihan? Akan ada yang menang dan kalah, tetapi yang kalah harus bersedia untuk menerima kekalahan, manakala yang menang pula tidak harus angkuh dan menghukum mereka yang menentang dan tewas.
Prinsip biduk lalu kiambang bertaut harus diamalkan demi solidariti parti.

Namun, biasanya dalam politik, kata-kata ini sukar diamalkan disebabkan oleh sikap ego pemimpin politik dan penyokong mereka.

Selepas pertandingan, perbezaan perlu diketepikan, sebaliknya barisan perlu dirapatkan. Inilah proses dalaman yang sepatutnya berlaku dalam parti yang matang.

Pemimpin dan ahli juga perlu bersikap terbuka dan bersikap matang dan rasional dengan menerima apa-apa keputusan, termasuk yang tidak memihak kepada mereka.

Pertandingan ialah cara terbaik untuk menyaring dan memilih pemimpin terbaik untuk menerajui parti berdasarkan suara ramai. Jika penyandang memenangi pemilihan berkenaan, langkah ini akan mengabsahkan dan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam parti.

Tiada sesiapa lagi dapat meraguinya kerana pemilihan dilakukan secara demokratik. Itulah sebabnya penting bagi Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membenarkan jawatan nombor satu dan dua ditandingi.

Beliau sepatutnya sedia dicabar dan diuji. Yang pasti, tidak mudah untuk menumbangkan penyandang yang punya pengaruh besar di peringkat bahagian, apatah lagi beliau kini ialah Timbalan Perdana Menteri.

Apabila tiada pemilihan berlaku, orang ramai akan menganggap Umno tidak lagi demokratik, malah pemimpinnya takut untuk bertanding walaupun hakikatnya tidak demikian.

Adakah memang perwakilan dan ahli akar umbi Umno tidak mahu berubah?

Tidakkah mereka sedar akan isyarat yang dihantar oleh rakyat, khususnya orang Melayu pada PRU lalu?

Umno perlu sedar bahawa sokongan sekitar tiga juta ahlinya tidak memadai.

Umno perlukan sokongan mereka di luar parti itu untuk memenangi sebarang pilihan raya.

Justeru, persepsi negatif bahawa Umno tidak mahu berubah tentu tidak akan membantunya untuk melangkah ke hadapan.

Reformasi dan transformasi di peringkat kepimpinan amat penting, bukan sahaja untuk peremajaan dan memastikan berlakunya dinamisme dan anjakan dalam kepimpinan, tetapi bagi memastikan parti itu selari dengan perubahan landskap politik dan aspirasi rakyat.

Hakikatnya, keputusan perwakilan menghalang pertandingan ialah satu petanda buruk dan masa depan Umno.
Malah, ini langkah ke belakang.

Perwakilan Umno mungkin mengundi untuk menyokong usul berkenaan tetapi ia kemungkinan tidak mencerminkan sentimen di akar umbi.

Imej Umno sedikit sebanyak pasti terjejas kerana tiada pertandingan dalam parti yang perlu diadakan sebelum 19 Mei nanti. Kewibawaannya di mata rakyat terjejas.

Seyogia diingatkan, rakyat dan pengundi mahu melihat anjakan dan perubahan. Mungkin sahaja Umno tidak pedulikan sentimen berkenaan.

Jelas Umno dalam sindrom penafian.

Umno telah tertutup peluang untuk menyaksikan amalan menghidupkan demokrasi. Sentimen dan aspirasi akar umbi gagal diterjemahkan dengan tiadanya pemilihan untuk jawatan tertinggi parti.

Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.