Padah tumbuk dan tendang anak buah isteri

0
24
Gambar hiasan

KUCHING: Padah tumbuk dan menendang anak buah isterinya kerana menyangka mangsa mencuri sejumlah wang yang disimpan di dalam bilik tidur, seorang lelaki warga Mesir dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Mohamed Magdy Badr, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Farah Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa lelaki berusia 34 tahun.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Tabuan Laru, di sini, kira-kira jam 7 petang, 27 Disember 2022.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Siti memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang merupakan anak saudara isteri tertuduh telah ditendang dan ditumbuk hingga mengalami kecederaan sakit lebam di perut, mata dan bahagian badan yang lain.

Akibat kejadian itu, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penahanan tertuduh.

Difahamkan, punca kejadian kerana menyangka tertuduh mengambil sejumlah wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalam bilik tidur.

Tetapi pengadu menafikan mengambil wang tersebut tetapi mengaku telah mengambil rantai perak milik tertuduh yang disimpan di bilik tidur tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili Peguam Lim Vui Seng.