Usul tiada pertandingan Presiden, Timbalan UMNO tidak haram

0
15
Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: UMNO telah memohon nasihat daripada peguamnya berhubung usul tambahan  dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sebelum diluluskan.

Usul  yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 bukan usul haram seperti yang didakwa, jelas Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Usul tambahan itu pula bukan usul haram seperti tuduhan.

Setelah episod ucapan dan cadangan wakil Negeri Sembilan yang disokong wakil Terengganu, saya telah meminta nasihat peguam-peguam UMNO.

“Mereka menyatakan kaedah usul itu dibolehkan seperti peraturan Persidangan UMNO Perkara 20,” katanya dalam  satu kenyataan.

Semalam, perwakilan Umno Johor, Pandak Ahmad berkata, usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30, Buku Perlembagaan UMNO dan Perkara 10, Peraturan Persidangan.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno adalah sah dan berlandaskan perlembagaan parti.

“Usul tambahan iaitu perkara 8 daripada usul ucapan cadangan dasar presiden itu adalah sepenuhnya mengikuti beberapa fasal yang terdapat dalam Perlembagaan,” katanya merujuk kepada Timbalan Presiden Parti Datuk Seri Mohamed Hassan atau Tok Mat.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penggulungan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.