UMNO lantik bapa angkat hadapi PRN enam negeri

0
13
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik sebagai kesiapsiagaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, UMNO melantik beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) dan menteri sebagai bapa angkat di negeri terbabit.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai gerak kerja di Negeri Sembilan; Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah); Naib Presiden yang juga Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Terengganu).

Selain itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengetuai gerak kerja di Kelantan; Ahli MT yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said (Pulau Pinang); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Selangor).

“Bagi tujuan penyelarasan, Majlis Tertinggi telah bersetuju bahawa Penyelaras Operasi Pilihan Raya Negeri bagi enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi ialah (ahli MT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam seperti dipetik Umno Online

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi BN itu berkata selain Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau akan tetap meneruskan tugasnya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN dan Pengerusi War Room bagi PRN di enam negeri.

”Kita mesti berikan kepercayaan kepada Tok Mat (Mohamad) untuk melakukan kerja mulai dari sekarang. Enam menteri serta naib presiden yang saya lantik tadi, I’m the incharge (Saya yang bertugas) untuk memastikan semuanya berprestasi termasuk Tengku Zafrul walaupun dia belum duduk di atas pentas ini, insya-Allah saya yakin beliau akan membantu kepada kemenangan yang besar di Selangor,” katanya.