Status Sarawak, Sabah sebagai wilayah wujud mulai MA63 dimeterai

0
19
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Sarawak berstatus wilayah sejak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)  dimeterai di London pada 9 Julai 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) diwujudkan, kata Premier Sarawak.

Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pengiktirafan status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia masih pada peringkat cadangan dan belum lagi diwartakan.

“Dari mula lagi memang kita sepatutnya wilayah, tetapi keadaan sudah berubah selepas 60 tahun.

Semua ini adalah mengikut segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita yang telah mengambil kira MA63 dan IGC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching, di sini, pagi tadi.

Jelasnya, isu berkenaan pewartaan status itu akan dibincangkan  dalam mesyuarat berkaitan MA63 dan IGC pada 19 Januari ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri dijadualkan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak mulai Rabu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  pada Perhimpunan Agung Umno mengumumkan bahawa kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah.