Polis tahan dua lelaki ganggu dua wanita

0
18
Decorative picture

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki dipercayai mengganggu dua wanita sedang menaiki motosikal di Jalan Skudai, Pantai Lido di sini seperti dalam rakaman video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), ACP Raub Selamat berkata, berdasarkan siasatan, video kejadian itu dirakam pada 9.42 malam, Rabu lepas.

Beliau berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y16Z dari arah Skudai menghala ke Johor Bahru itu telah mengganggu kedua-dua mangsa sehingga menimbulkan perasaan takut dan trauma.

“Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut tiada sebarang kecederaan dialami mangsa.

Kedua-dua lelaki berkenaan berjaya dikesan dengan seorang daripadanya disaman atas kesalahan tiada lesen motosikal manakala seorang lagi tidak memakai topi keledar ketika membonceng.

“Mereka telah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah JBS untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut telah dijalankan, namun tidak terkesan apa-apa perbuatan jenayah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Raub meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di bandar raya ini.

Baru-baru ini tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan dua lelaki bermotosikal mengganggu dua wanita yang sedang menaiki motosikal dan perbuatan mereka turut ditegur oleh pengguna jalan raya yang lain.