Kerajaan kaji semula harga siling ayam

0
11
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melakukan lawatan kerja di Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar. | Facebook Salahuddin Ayub

ALOR SETAR: Penetapan harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam standard di pasaran akan dikaji semula bagi memastikan rakyat mendapat sumber protein itu pada harga yang lebih stabil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata berikutan bekalan ayam di pasaran sudah pulih, pihaknya melakukan perbincangan dengan pemain industri itu untuk menentukan harga siling baharu dalam masa terdekat.

“Harga siling setakat ini kita kekal RM9.40 sekilogram tetapi saya lihat di seluruh negara pada hari ini syarikat-syarikat bermurah hati untuk menjual di bawah harga siling, ada yang jual RM7.90 sekilogram, ada jual RM8.90 sekilogram.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melakukan lawatan kerja di Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar. | Facebook Salahuddin Ayub

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana insentif mereka ini memberikan banyak ruang kepada rakyat untuk mendapatkan harga yang lebih murah,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat jualan ayam di sini semalam.

Ditanya sama ada harga siling baharu itu nanti lebih murah berbanding harga siling semasa atau sebaliknya, Salahuddin berkata perkara itu akan ditentukan kemudian dan berharap rundingan baik dapat dilakukan dengan pemain industri.

Salahuddin berkata selain mengadakan perbincangan dengan pembekal dan penjual ayam, pihaknya juga mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri itu bagi mendapatkan perincian berhubung isu bekalan ayam di pasaran.

Beliau berkata pertemuan itu diharap dapat mengenal pasti punca kepada masalah yang berlaku dan mencari penyelesaian supaya rantaian bekalan di pasaran dapat diperbaiki.

“Ada empat syarikat besar yang saya umumkan nanti, saya akan meneruskan libat urus ini terus kepada mereka, kepada punca dari mana masalah ini berlaku.

“Jadi tunggu dulu, biar saya dapatkan fakta-fakta yang lebih lengkap daripada kementerian (KPDN), daripada MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Kementerian Ekonomi dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri),” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru peruncit khususnya di kawasan luar bandar untuk mendaftar dengan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) yang diwujudkan kementerian bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi secara terus daripada pembekal.