Dagangan sekuriti Serba Dinamik disambung semula

0
12
Serba Dinamik

KUALA LUMPUR: Dagangan sekuriti Serba Dinamik Holdings Bhd (SERBADK) disambung semula berkuat kuasa 9 pagi pada 13 Januari, 2023, kata syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, ia turut memaklumkan berkenaan Pekeliling Penyenaraian berkaitan dengan penggantungan dagangan SERBADK yang berkuat kuasa bermula 9 pagi, 18 Januari, 2023, berkenaan Perintah Penggulungan terhadap syarikat itu.

Menurut laporan berita, Mahkamah Tinggi pada 10 Januari, 2023 membenarkan petisyen yang difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung syarikat itu dan tiga anak syarikatnya.

Enam institusi kewangan selaku pempetisyen saman itu adalah Standard Chartered Saadiq Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, AmBank Islamic Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd. Empat syarikat itu dikatakan mempunyai hutang berjumlah hampir RM5 bilion.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat itu juga mengumumkan bahawa ia mengeluarkan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun.

Sebelum ini, pada 22 Disember, 2022, syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pengeluaran Laporan Tahunan 2022 ditangguhkan kerana penyata kewangan yang diaudit bersama-sama dengan laporan juruaudit dan pengarahnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022, belum selesai.

Pada 19 Disember, penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang mengalami masalah kewangan itu berkata sekiranya kumpulan itu tidak dapat menyerahkan laporan tahunan 2022 pada atau sebelum 22 Disember, 2022, dagangan sekuriti syarikat itu akan digantung bermula 9 pagi pada 23 Disember, 2022, sehingga diberitahu kelak. – Bernama