Zahid raikan perbezaan pendapat dalam parti

0
14
Gambar: Umno Online

KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni perbezaan pendapat dalam kalangan ahli parti yang berminat untuk melakukan agenda reset UMNO.

Jelas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, reset UMNO boleh dilakukan bersama-sama namun tidak seharusnya melayani perbezaan yang akhirnya memecah-belahkan parti itu.

“Kita menyantuni perbezaan pendapat terutama di kalangan mereka yang berminat untuk bersama-sama dengan kepimpinan ataupun melakukan reset kepada parti. Apa yang penting, reset ini boleh kita lakukan bersama-sama dan tidak penting bagi kita melayani perbezaan-perbezaan mutakhirnya mewujudkan kabilah-kabilah.

“Saya mempunyai pendirian dan keyakinan, lebih baik kita bersama-sama untuk melakukan perubahan secara drastik jika ada dengan segera. Itu sebabnya semalam saya menyatakan bahawa esok pada hari Jumaat dalam ucapan dasar, saya akan menggariskan hala tuju baharu UMNO yang menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Pilihan Raya Umum (PRU) dan lain-lain gerakan massa.

“Dukungan akar umbi harus didapatkan semula termasuk mereka yang tidak berparti supaya dapat bersama-sama memahami dan akhirnya mendukung serta menyokong UMNO/BN,” katanya seperti dipetik Umno Online.

Sementara itu, Pengerusi BN itu turut menyatakan bahawa beliau memaafkan sepuluh Ahli Parlimen yang terlibat dalam memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika dalam proses pembentukan kerajaan pasca PRU ke-15.

“Peristiwa itu berlaku dalam usaha pembentukan kerajaan ketika itu apabila tidak ada mana-mana parti gabungan yang mempunyai kelayakan melepasi 50 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen. Pada ketika itu, ada usaha telah dijalankan untuk sepuluh ahli-ahli parlimen ini menarik balik surat sokongan dengan melakukan revocation of SD, ertinya membuat surat akuan sumpah untuk menarik balik.

“Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya telah memaafkan apa yang telah berlaku. Tetapi, saya akan terus sama-sama dengan Lembaga Disiplin UMNO, melakukan pemantauan terhadap pendirian yang mereka ada sekarang atau sekiranya mereka melakukan apa-apa gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.

“Tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama-sama dengan UMNO/BN dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang. Saya yakin juga bahawa kesilapan langkah dahulu adalah kerana situasi ketika itu tidak menentu maka pendedahan yang saya buat dalam Majlis Taklimat Presiden itu adalah tertutup,” katanya lagi.