Utamakan kepentingan Sarawak

0
15

DEBAK: Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPPMA63) diyakini membuahkan hasil yang diinginkan oleh Sarawak seperti MA63, jika semua pihak mampu menterjemahkan komitmen masing-masing.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata, MTPPMA63 yang dijangka bersidang di Kuching buat pertama kali tidak lama lagi merupakan peluang Sarawak mengutarakan lebih banyak kepentingan, yang sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya yakin rundingan menerusi MTPPMA63 boleh berjaya dengan komitmen semua pihak.

“Kita tidak mahu cuma omong kosong atau janji kosong kerana Kerajaan Persekutuan yang dibentuk hari ini adalah hasil muafakat yang dicapai bersama, mewujudkan pemerintahan yang stabil seperti dikehendaki Yang di-Pertuan Agong.

“Maknanya semua pihak harus menterjemahkan komitmen yang dinyatakan bermula daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, menterimenteri sehinggalah kedua-dua Kerajaan Negeri iaitu Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi PBB itu berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jangkauan Wanita Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (Pitsa): Memperkasakan Ekonomi Wanita Melalui Digital yang berlangsung di Dewan Millenia, kelmarin.

Beliau katanya, benar-benar mengharapkan kesungguhan Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu dalam tuntutan seperti MA63.

“Saya percaya dari segi kerjasama yang dicapai sebagai muafakat dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan sudah jelas, akan kepentingan Sarawak dalam isu tersebut.

“Justeru, harapan saya agar apa yang dituntut sesuai dengan MA63 khususnya dalam pendidikan, kesihatan dan peruntukan bajet pembangunan yang lebih adil dengan keadaan geografi Sarawak yang luas hampir menyamai Semenanjung Malaysia, akan dapat ditambah baik.

“Harus difahami Sarawak merupakan penyumbang terbesar hasil pendapatan negara daripada sumber asli, maka wajar Sarawak diberikan yang sepatutnya seperti dituntut selama ini.

“Begitu juga dengan pelbagai kuasa seperti pelaksanaan projek,” ujarnya.

Berhubung pengiktirafan Jemaah Menteri meluluskan syor pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik untuk menguruskan projek pembangunan Persekutuan sehingga RM50 juta, Razi menyifatkan ia sebagai permulaan yang baik.

“Saya yakin Sarawak boleh melaksanakannya, bahkan untuk projek yang lebih besar.

“Secara peribadi saya berpandangan, Kerajaan Persekutuan patut membenarkan projek pembangunan Persekutuan bernilai RM200 juta diurus oleh Sarawak,” tegasnya.

Adun Saribas itu menaruh harapan agar rundingan di bawah MTPPMA63 turut memanfaatkan luar bandar Sarawak termasuk Saribas.

“Untuk Saribas, dengan adanya kejayaan dan rundingan tersebut nanti banyak peruntukan Persekutuan dapat disalurkan, kerana seperti sebelum ini terlalu sedikit.

“Harapan saya agar ia dapat dinikmati untuk pembangunan Dun Saribas dan rakyatnya secara keseluruhan, kerana kita sentiasa memerlukan peruntukan besar bagi membangunkan kawasan luar bandar seperti Saribas,” tambahnya.

Presiden Pitsa Dayang Noorazlinah Abang Noorzuki, Penyelaras Program Memperkasakan Ekonomi Wanita Melalui Digital Kaunselor Dayang Rosnah Abg Drashid, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Muhammad Hafiz Kepli, Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Saribas Rohana Julai turut hadir.