Rogol pelajar: Bekas penjawat awam direman di penjara Pusat Koreksional Bintulu

0
24
Gambar hiasan

BINTULU: Seorang lelaki suspek kes rogol dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Bintulu dituduh di Mahkamah Bintulu semalam dan kini ditahan reman di Penjara Koreksional Bintulu.

Polis telah berusaha menjejaki suspek sejak Ogos 2022 bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dua pelajar sekolah menengah di bahagian Bintulu. 

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Batholomew Umpit, bekas penjawat awam itu dituduh menerusi aplikasi Zoom pada pukul 2.45 petang di bawah Seksyen 14 (a) dan dibaca bersama Seksyen 16(1), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sebutan semula terhadap suspek akan dibuat pada 16 Januari ini di Mahkamah Bintulu dan akan dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Rogol), Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(q) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 hendaklah dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dihukum dengan sebat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 pesalah hendaklah dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dikenakan hukuman sebat, katanya.