Pertandingan: Terserah kepada perwakilan, kata Zahid

0
11
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Terserah kepada perwakilan UMNO untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan nanti, yang perlu diadakan sebelum 19 Mei ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum ini dilaporkan terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata, hal ini bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Beliau yang juga Pengerusi BnN menyatakan keyakinannya bahawa para perwakilan UMNO sudah cukup matang untuk membuat penilaian sesuai dengan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya.

“Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam.

Bak kata orang muda, yang mana ori (tulen) yang mana fake (palsu),” katanya.

Beliau berkata deemikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.