Longgar pengambilan pekerja asing

0
12
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melonggarkan peraturan pengambilan pekerja asing dan program rekalibrasi dilanjutkan di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 (IIRP 2.0).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menghapuskan prasyarat sedia ada termasuk kuota dan membenarkan pengambilan dijalankan berdasarkan kemampuan dan keperluan syarikat melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan berkata industri menyambut baik perhatian diberikan kerajaan terhadap keperluan buruh yang dibangkitkan oleh industri walaupun pelan itu adalah langkah sementara untuk memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf kepentingan dan peranan pekerja asing sebagai pelengkap dalam menyokong pemulihan ekonomi terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan yang berpanjangan ini, tahun 2023 dijangka sebagai tahun yang sukar kerana pertumbuhan global dijangka perlahan, inflasi global kekal tinggi dan jumlah dagangan kepada kontrak,” katanya.

Beliau berkata program rekalibrasi dilanjutkan khusus untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (MRP) sehingga Disember 2023 adalah langkah baik kerana mereka yang layak untuk skim tersebut adalah pekerja berpengalaman dan terlatih sekali gus mengurangkan masa diperlukan untuk memberi mereka latihan atau dilatih semula oleh majikan baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata FMM ingin mencadangkan supaya pelaksanaan IIRP 2.0 itu lebih sesuai diuruskan Jabatan Imigresen kerana ia akan menghapuskan kekeliruan dalam proses tersebut dan orang tengah yang cuba mengambil kesempatan daripada skim itu dengan menawarkan pekerja dengan bayaran.

Soh berkata berkata IIRP 2.0 juga harus memenuhi keperluan pekerja tanpa dokumen yang mahu pulang ke negara asal mereka tanpa disenarai hitam serta mereka dan diambil semula bekerja secara sah.

FMM juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan repositori pekerja yang tersedia di pusat tahanan dan pekerja bagi majikan yang tidak dapat memperbaharui permit mereka atau menghantar mereka balik semasa pandemik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru mereka yang dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin harus dipertimbangkan dimasukkan dalam skim tersebut, katanya.

Beliau juga berharap peraturan pengambilan pekerja asing yang sama dilonggarkan untuk memohon pengambilan semula pekerja tanpa dokumen.

Soh berkata keseluruhan proses itu juga harus dijalankan secara dalam talian termasuk memperkenalkan fleksibiliti pada mod pembayaran, ia akan membolehkan lebih ramai pekerja diproses melalui satu penyerahan permohonan kerana pada masa ini terdapat had pembayaran yang dikenakan untuk setiap pembayaran kad debit/kredit.

“Kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk menyemak semula caj kompaun dengan menurunkannya kepada RM900 sama seperti kadar untuk Program Penggajian dan Penempatan Semula yang dilaksanakan sebelum ini pada 2016 daripada RM1,500 yang dikenakan sekarang.

“Sementara itu prosedur dan syarat juga mesti dijelaskan kepada pihak kedutaan yang akan memudahkan pembaharuan atau pengeluaran pasport baharu bagi warganegara mereka yang mahu diambil bekerja semula secara sah,” katanya.

Beliau berkata industri menyambut baik butiran mengenai Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan IIRP 2.0, FMM berharap ia akan dikeluarkan tidak lama lagi dan sebaikbaiknya menganjurkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk pemahaman dan tafsiran yang jelas mengenai prosedur baharu tersebut. – Bernama