Khianat kubur Bill Kayong: Polis terima laporan

0
21
Gambar: Media sosial

MIRI: Satu laporan polis telah diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berhubung insiden perbuatan khianat ke atas batu nisan kubur Allahyarham Bill Kayong di tanah perkuburan Islam di Jalan Lusut, Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, pihaknya mengesahkan terdapat kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook yang menunjukkan gambar batu nisan Allahyarham dirosakkan.

Jelasnya, kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat perbuatan khianat ini di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Gambar: Media sosial

“Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini, silalah tampil ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat kami iaitu Sarjan Daveora Julaimi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya.

Alexson menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu sensitif di media sosial kerana perbuatan itu boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran, selain mengganggu keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Pada 21 Jun 2016, Bill Kayong yang juga merupakan aktivis tanah hak adat bumiputera meninggal dunia selepas ditembak oleh individu di persijpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram.

Ketika insiden itu berlaku arwah juga ialah Setiausaha PKR di bahagian Miri dan berpengalaman bertugas sebagai setiausaha politik kepada bekas Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.