Hentikan polemik kerjasama dengan PH bentuk Kerajaan Perpaduan

0
11
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Polemik dan persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak berhubung kerjasama UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan perlu dihentikan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini memberi pencerahan dan penjelasan mengapa BN memilih PH berbanding Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperlihatkan tiada satu gabungan parti yang mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.

“Pertamanya, kita telah mengadakan rundingan dengan kedua-duanya PH dan PN secara berasingan dua hari selepas PRU15.

Dalam perundingan tersebut, kita telah meletakkan beberapa asas utama termasuk dalam soal Islam / Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu dan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu yang perlu disepakati bersama.

“Begitu juga dalam soal pembentukan kabinet.

Malah dalam cadangan kita, kita menetapkan agar kerajaan yang dibentuk, ia tidak boleh diidentitikan dengan nama parti. Sebaliknya mestilah dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“PH dalam responnya secara bertulis menyatakan persetujuan terhadap perkara-perkara asas utama yang perlu disepakati.

Bagaimanapun PN dalam maklum balasnya hanya menyebut sedia mempertimbangkan perkara-perkara yang telah kita usulkan,” jelas Pengerusi BN itu seperti dilapor portal Umno.

Tambahnya lagi, seperti diketahui umum penolakan PN terhadap titah usulan Yang di-Pertuan Agong untuk dibentuk Kerajaan Perpaduan.

“Penolakan ini disebabkan ketua PN mendakwa telah mempunyai jumlah akuan bersumpah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Rupa-rupanya akuan bersumpah ini termasuk 10 daripada wakil BN yang telah memenangi kerusi Parlimen pada PRU15, tanpa merujuk kepada parti.

“Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN.

Belum pun subuh pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri. Sedangkan seperti yang saya sebutkan kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji.

Kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti.

“Atas sebab itu, kita berbincang dan bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama PH dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” katanya