Dua laluan baharu

0
14
Datuk Seri Lee Kim Shin

SELANGOR: MyAirline Sdn.Bhd menerima lawatan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin bersama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil dan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep serta pegawai Kementerian Pengangkutan Sarawak di Subang Jaya, kelmarin.

Dalam pertemuan tersebut, Lee Kim Shin telah mencadangkan kepada MyAirline untuk mengendalikan beberapa laluan penerbangan antarabangsa dari Sarawak.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MyAirline atas keyakinan, sokongan dan juga kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak dan industri,” katanya.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyAirline Sdn. Bhd, Rayner Teo telah memberikan taklimat kepada Menteri dan Timbalan Menteri mengenai operasi latar belakang dan perancangan yang akan datang syarikat tersebut terutamanya di Sarawak.

“Pihak kami akan membuka dua laluan baharu untuk Sarawak iaitu dari Kuala Lumpur ke Sibu dan sebaliknya sebanyak 14 kali seminggu bermula 18 Januari ini serta penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri dan sebaliknya sebanyak tujuh kali seminggu bermula 1 Mac ini dan akan ditambah kepada 14 kali seminggu bermula 15 Mac kelak.

“Saya juga memberi jaminan bahawa semua penerbangan MyAirline yang akan ke Sarawak dan dari Sarawak akan menggunakan jambatan udara (aerobridges),” jelasnya.

Sehubungan itu, perkara-perkara lain seperti laluan baharu yang berpotensi keluar dan masuk Sarawak, kekerapan penerbangan, perkhidmatan penumpang, tambang penerbangan dan meneroka kawasan berpotensi kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak dan industri turut dibincangkan.