Umno bukan lagi parti pilihan

0
17
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menerima hakikat bahawa, rakyat tidak lagi melihat UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu wadah atau parti pilihan yang perlu diberikan mandat dan sokongan untuk memimpin negara kita.

Menurut Ketua Wanitanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, UMNO juga perlu sedar bahawa, parti itu bukan sahaja telah gagal meraih sokongan rakyat, tetapi kita seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.

“Realiti ini amat sukar untuk saya lafazkan tetapi inilah hakikat yang kita perlu sedar, terima dan insafi. Hakikat ini memang pahit untuk kita telan,” katanya dalam ucapan pada perhimpunan Agung UMNO.

“Kita tidak boleh lagi tenggelam dengan nostalgia lama. Politik khidmat kita tidak lagi mampu memenangi hati dan sokongan rakyat. Walaupun kita sering berkata orang UMNO lah yang banyak berjasa dan membantu rakyat, tetapi kita tetap ditolak dalam PRU-15 yang lalu,” ujarnya.

Tegasnya, meskipun UMNO telah banyak berjasa, ia bukan tiket atau jaminan UMNO ini akan kekal relevan.

Bekas menteri Pengajian Tinggi itu berkata, impak UNDI18 dan pendaftaran automatik juga penting. 

“Rata-rata mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Faktor parti tidak mempengaruhi keputusan mereka untuk membuat pilihan dalam PRU,” katanya.

Jelasnya, kumpulan ini harus ditangani dengan bijaksana oleh UMNO. 

“Pendidikan politik harus dijuarai oleh UMNO dan parti perlu melihat perkara ini sebagai satu agenda jangka masa panjang demi kebaikan UMNO.

Apa yang penting, saya tahu Wanita UMNO di semua peringkat telah berjuang bermatian-matian, berkorban segalanya, dengan penuh tekad, semangat, dan kudrat yang ada, demi memenangkan parti,” tambahnya.

 Justeru, menurut Noraini sebagai penghargaan kepada semua, baik yang di dalam dewan mahupun di luar sana, termasuk juga yang menyaksikan perhimpunan ini secara maya, marilah kita beri tepukan penghargaan kepada semua Wanita UMNO!