Shafie dakwa Kerajaan Sabah bukan Kerajaan Perpaduan

0
12
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal hari ini mendakwa Kerajaan Sabah ketika ini bukan Kerajaan Perpaduan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah membelakangi saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melanggar persetujuan serta kesepakatan yang telah dicapai.

“Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Sabah yang baharu telah berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan satu Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Shafie berkata, Warisan menyokong penuh saranan Perdana Menteri mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah.

“Saranan itu juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia yang turut hadir pada pertemuan itu,” katanya lagi.

Mohd Shafie berkata, penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran-butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan di Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Anwar telah menyarankan agar mewujudkan kerajaan perpaduan di Sabah, bagi menyelesaikan permasalahan politik yang berlaku di negeri berkenaan.

Beliau yang juga presiden Umno itu berkata cadangan pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah, melibatkan semua parti yang berada dalam kerajaan di peringkat pusat.