Cederakan isteri, lelaki tempatan dijatuhi penjara, denda RM1,000

0
17
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana sengaja mencederakan isterinya dengan memulas tangan kiri dan menumbuk perut mangsa.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Hutchinson Wayne Oyo, 24, dari Sri Aman selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Syarifah juga memerintahkan tertuduh yang merupakan pekerja kilang itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mencedera isterinya berusia 24 tahun di kediaman mereka di Jalan Kuching-Samarahan, sekitar jam 10.30 petang, 2 Januari lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh yang pulang ke rumah sewa dalam keadaan mabuk terus memarahi isterinya yang sedang makan.

Tertuduh kemudian masuk ke bilik mereka diekori mangsa kerana bimbang suaminya membuat perkara yang tidak diingini.

Semasa di dalam bilik, tertuduh mengambil komputer riba milik mangsa lalu hendak dihempaskan namun sempat dirampas mangsa.

Berang dihalang isterinya, tertuduh kemudian memulas tangan kiri mangsa ke belakang sambil menumbuk perut sebanyak dua kali.

Akibat itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian perut dan tangan kanan.

Sebelum kejadian ini, tertuduh sering kali pulang dalam keadaan mabuk dan memukul mangsa tetapi tidak melaporkan kejadian tersebut kerana masih memberi peluang untuk tertuduh berubah.

Tidak tahan dengan perbuatan suaminya, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.