Suspek bunuh kanak-kanak OKU direman tujuh hari

0
18
Gambar hiasan

BAU: Suspek kes bunuh kanak-kanak perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dipukul sehingga mati dan dibuang mayatnya di semak Kampung Kranji direman tujuh hari.

Suspek ditangkap pada 4 Januari lalu di kedai menjual alat ganti kereta di Jalan Laksamana Cheng Ho & Jalan Stampin Timur, Kuching pada jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, lelaki tempatan berumur 35 tahun itu ditahan reman bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Sementara proses bedah siasat mangsa telah selesai dijalankan pada semalam.

Terdahulu, Poge dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 21 Disember lalu memaklumkan ibu mangsa dan anak perempuan sulungnya takut pulang kerana telah dipukul oleh teman lelakinya.

Katanya, ibu mangsa, 34 tahun turut membuat laporan polis pada hari yang sama.

Beliau berkata, soal siasat terhadap suspek memberitahu bahawa suspek telah memukul anak bongsu teman wanitanya sehingga tidak bernyawa dan membuang mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji.

“Pada lebih kurang jam 6.45 petang, pihak polis dipandu oleh suspek menunjukkan tempat membuang mayat mangsa.

“Ibu mangsa telah dibawa ke lokasi dan mengesahkan bahawa itu anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang oleh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh suspek kira-kira lima hari sebelum laporan polis dibuat oleh ibu mangsa.

Justeru tambahnya, ibu mangsa turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.