Padah cederakan rakan, humban mangsa di tapak pembinaan

0
17
Gambar hiasan

KUCHING: Padah mencederakan rakan baiknya dengan menghumbankan mangsa ke tapak pembinaan di belakang bangunan kedai, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Krishnan Joseph Rusell Johnson, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di sebuah kedai makan, Jalan Ban Hock, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 19 November 2022.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, semasa pengadu sedang makan dengan rakannya (tertuduh) di sebuah kedai makan, tiba-tiba tertuduh bertindak agresif.

Pengadu cuba menenangkan tertuduh namun tidak berjaya. Melihat keadaan semakin tegang, pengadu cuba menghubungi isteri tertuduh untuk mendapatkan bantuan.

Apabila tertuduh menyedari perbuatan pengadu, dia terus merampas telefon tersebut lalu menghempaskan ke atas jalan raya.

Selepas menghempaskan telefon terbabit, tertuduh mengambil semula telefon pengadu lalu merendamnya ke dalam air panas yang sedang mendidih.

Tidak tahan dengan sikap tertuduh, pengadu kemudian lalu beredar dari tempat kejadian menuju ke keretanya yang diletakkan di belakang kedai makan tersebut.

Semasa menuju ke arah kereta pengadu, dia ditanya tertuduh dan seterusnya lalu ditarik dan dihumban ke sebelah jalan yang bertingkat.

Tertuduh sekali lagi menghumbankan pengadu ke tapak pembinaan di belakang kedai namun sempat berpaut pada sebatang besi untuk menyelamatkan diri.

Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan luka dan lebam di tangan sebelah kiri, luka lutut kanan, cedera di kaki kiri dan belakang badan.

Pengadu kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penahanan tertuduh sehari selepas kejadian.

Difahamkan, tertuduh dikatakan di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian berlaku.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, di mahkamah yang sama, Krishnan turut dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan atas kesalahan merosakkan telefon telefon pintar jenama Iphone milik mangsa yang sama dengan menghempas di atas jalan raya dan memasukkan ke dalam air panas yang sedang mendidih.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.