Tokan dadah ditangkap

0
20
SUPT BARTHOLOMEW UMPIT

BINTULU : Seorang tokan dadah warga asing ditangkap kerana terlibat kegiataan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata suspek lelaki berumur 25 tahun itu ditangkap dalam Ops Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis(IPD) Bintulu di belakang tandas awam tapak Pasar Malam, Jalan Sommerville, di sini.

Beliau berkata siasatan awal dipercayai dadah untuk pengedaran di sekitar kawasan bandar dan ladang boleh digunakan untuk 150 orang penagih.

Turut dirampas dadah disyaki jenis syabu dengan berat kasar 5.5 gram.

“Hasil ujian saringan polis juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Saspek, katanya,disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, saspek boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)ADB 1952, saspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan dua tahun.

“Manakala, kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(tiada dokumen perjalanan) memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan, ujarnya.

Menurutnya, tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di Daerah Bintulu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah di daerah ini diseru untuk memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 bagi tindakan lanjut,” tambahnya lagi.