Guna dron seludup barang ke penjara

0
18
Gambar hiasan

KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki dipercayai cuba menyeludup barang terlarang ke Pusat Pemulihan Akhlak Machang dengan menggunakan dron pada 12 Disember lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan pusat pemulihan akhlak itu pada 1.05 pagi.

“Hasil tindakan segera menggunakan teknologi peranti pengesan mendapati pengendali dron tersebut berada di kawasan berdekatan iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret, Machang.

“Ketiga-tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun itu bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut laju melarikan diri sebelum ditahan berdekatan jalan utama Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sejumlah barangan termasuk lima telefon bimbit, dua unit ‘power bank’, sebilah parang, 20 mercun bola dan sebilah badik.

“Polis turut menjumpai satu alat kawalan jauh dron model rc123, 13 bungkusan tembakau dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau,” katanya.

Muhammad Zaki berkata kesemua barang itu dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Sekyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, kesemua lelaki itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Machang pada 19 Dis lepas di bawah Seksyen 58(1) Akta Penjara 1995, Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957. – Bernama