Kastam tumpas tiga sindiket dadah guna sistem kurier di Kuching, Miri

0
20
MAMPAT...Cubaan pengedar untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa dengan menggunakan sistem kurier membalut daun kering dipercayai dadah jenis ganja.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan tiga kes penyeludupan dadah berbahaya disyaki jenis Ketamin dan Ganja dalam masa tiga bulan bermula November sehingga Disember, tahun ini.

Pengarahnya, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, ketiga-tiga kes membabitkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM238,510.

Katanya, kes terbaharu berlaku pada 14 Disember lalu iaitu cubaan menyeludup dadah jenis ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

MAMPAT…Cubaan pengedar untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa dengan menggunakan sistem kurier membalut daun kering dipercayai dadah jenis ganja.

“Pasukan telah menyita dua bungkusan kurier, iaitu pertama dikesan pada jam 10.30 pagi manakala bungkusan kedua dikesan sekitar jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan terhadap bungkusan pertama menjumpai lapan paket kedap udara mengandungi ketulan mampat daun tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Seterusnya pasukan menemui empat paket kedap udara berisi ketulan mampat daun tumbuhan kering di dalam bungkusan kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UBAT…Hasil pemeriksaan lanjut bungkusan ubatan tradisional mengandungi dadah jenis ketamin.

Hasil rampasan tersebut katanya dianggarkan bernilai RM14,350 secara keseluruhan.

Sementara itu, kes kedua membabitkan tangkapan dua warga emas berusia 60-an hasil penemuan 500 paket didakwa ubat tradisional cina yang didapati positif ketamin.

“Menurut keterangan suspek mereka sudah beberapa kali membeli barangan tersebut daripada penjual di sebuah negeri di utara Malaysia.

“Suspek juga menyatakan dadah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri dan sebahagian kecil pula dijual dalam kalangan komuniti kerana dipercayai dapat melegakan sakit sendi,” katanya.

Bagi kes ketiga pula, Ahmad Taufik menjelaskan seorang lelaki ditahan di sebuah premis kurier di Miri selepas pemeriksaan awal mendapati bungkusan berkenaan berisi dua ketulan mampat daun tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1,042 gram dianggarkan bernilai RM4,600.

Jelas beliau, tangkapan dilakukan lebih kurang jam 2.14 petang pada 20 Disember lalu dan suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri bagi perintah reman selama tujuh hari bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahmad pada masa mendedahkan ketiga-tiga kes mempunyai modus operandi tersendiri.

“Bagi kes 1 modus operandi adalah menggunakan perkhidmatan kurier untuk mendapatkan bekalan dadah dari semenanjung Malaysia.

“Kes 2 mengimport bahan narcotic diikrarkan sebagai ubatan tradisional menggunakan perkhidmatan kurier dari semenanjung untuk diedarkan sekitara badar Miri.

“Kes 3 adalah menggunakan pihak ketiga untuk menuntut bungkusan di pusat-pusat kurier bagi menghindari dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Untuk rekod, JKDM Sarawak merekodkan lebih 48 Kilogram(kg) dadah pelbagai jenis berjaya dirampas di Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri bernilai RM2, 676, 093.00 bermula awal tahun sehingga November lalu.