Berang ditegur ekzos bingit

0
19
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mencederakan jirannya menggunakan sebatang besi selepas berang ditegur ekzos motosikal yang digunakannya terlalu bising.

Tertuduh berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pada 19 Januari 2023 bagi pendengaran laporan sosial pesalah muda itu sebelum dijatuhkan hukuman.

Selain itu, mahkamah membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM800 beserta seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 25 tahun menggunakan batang besi.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah bangunan flat di Taman Sepakat Jaya, Demak Laut, kira-kira jam 5.30 petang, 25 April lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, berlaku selisih faham antara adik lelaki mangsa dengan tertuduh kerana adiknya menegur ekzos motosikal yang digunakan tertuduh terlalu bising.

Berang ditegur, tertuduh bertindak memukul kepala adik mangsa menggunakan helmet namun sempat dielak.

Mangsa meleraikan pergaduhan tersebut dipukul dengan sebatang besi.

Selain itu, tertuduh juga merosakkan motosikal jenis SYM Sport milik bapa mangsa dengan memecahkan penutup motosikal terbabit hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM280.

Selepas melakukan perbuatan terbabit, tertuduh bertindak melarikan diri. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penahanan tertuduh di kediamannya pada 21 Disember lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tiada diwakili peguam.