Capoeira Retreat acara ikonik Borneo

0
5

KUCHING: Kelab seni bela diri dan budaya Capoeira pertama Sarawak mahu menjadikan Gathering of Tribes Borneo: Capoeira Retreat 2022 sebagai penganjuran tahunan ikonik dalam kalendar pengamal seni bela diri di negeri ini.

Pengasas Capoeira Árvore Da Vida Borneo, Malcolm Wu berkata, penganjuran itu selari dengan sambutan ulang tahun Capoeira selepas 10 tahun bertapak di Bumi Kenyalang sejak mula diperkenalkan pada 2012.

Menurutnya, acara yang berlangsung 10 hari bermula 12 hingga 21 Disember ini akan menghimpunkan lebih 50 peserta yang terdiri daripada guru, jurulatih dan pengamal seni bela diri tersebut dari seluruh dunia.

Jelasnya, ia termasuk peserta dari negara Brazil, Croatia, Slovenia, Hungary, Serbia, Amerika Syarikat, Vietnam dan Singapura.

“Idea kami untuk menghimpunkan pengamal seni Capoeira dari seluruh dunia ke Sarawak, jika sebelum ini bila bercakap mengenai Kem Berlawan, orang akan sebut Thailand, Yoga Retreat, orang akan kata Bali.

“Maka dari situlah tercetus idea, kenapa tidak kita mengadakan satu program atau acara yang khususnya, sekali gus menjadikan ia sebagai acara ikonik di Borneo iaitu Capoeira Retreat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun Capoeira Sarawak Ke-10 di Icom Innovation Hub di sini.

Mengulas rancangan masa depan penganjuran Capoeira Retreat, kata Malcolm mereka berhasrat untuk memperluaskan penganjuran itu.

Ia termasuk cadangan untuk mengadakan Persidangan Antarabangsa Seni Bela Diri Capoeira di Borneo.

“Kita mahu melihat penganjuran Capoeira Retreat dilanjutkan lagi pada masa akan datang, kerana kita tidak mahu berhenti di sini sahaja.

“Kita cadang untuk mengadakan persidangan, tetapi ia masih di peringkat cadangan awal.

Jadi, untuk itu, kita memerlukan masa dan pasukan yang besar untuk merealisasikannya, sekali gus mengangkat Sarawak ke tingkat seterusnya,” katanya lagi.