Beri peluang pulih ekonomi negara

0
2
Datuk Seri Anwar Ibrahim Foto : ISMAWeb

BETONG: Rakyat tidak mahu ketidakstabilan politik dan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU- 14) pada 2018, berulang.

Sehingga kini pun seolah-olah pahat masih berbunyi tatkala rumah (Kerajaan Persekutuan) telah siap dibina.

Justeru, Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) menggesa semua pihak agar menerima hakikat, seterusnya memberikan peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan memfokuskan misi pemulihan ekonomi agar lebih baik.

Pengerusinya, Dr Bolhan Budeng menegaskan, Kerajaan Persekutuan baharu sedang memulakan usaha untuk memulihkan segalanya demi kesejahteraan rakyat.

“Maka, Anwar perlu diberikan ruang dan sebagai rakyat, kita tidak mahu melihat serta mengalami situasi seperti ketidaktentuan politik selepas PRU- 14 berulang, yang banyak merugikan negara,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau mengakui hakikat berpolitik adalah baik untuk memajukan negara. “Tetapi jika ia disertai dengan rasa dendam, tohmahan, cacian dan penghinaan melibatkan ketidakmatangan, boleh meruntuhkan negara.

“Sehubungan itu, apa-apa jua kritikan biarlah membina yang membolehkan negara berkembang. “Banyak contoh boleh diambil daripada politik negara yang lebih maju, yang segala kritikan rakyat mahupun pembangkang terbukti berupaya membawa kebaikan.

“Saya yakin, Malaysia boleh menjadi negara maju setanding dengan negara maju lain sekiranya budaya berpolitik diubah cara atau konsepnya kepada lebih matang.

“Bersama-sama ke arah membangunkan negara dengan cara yang lebih baik tanpa ada gangguan yang boleh menggagalkan segala usaha baik sedang diusahakan,” ujarnya.

Bolhan tidak menafikan, sudah ada perubahan positif sedang berlaku selepas Kerajaan Persekutuan baharu dibentuk terutama melihat keyakinan pelabur asing serta nilai ringgit mula mengukuh.

“Rakyat mengharapkan keadaan ini akan lebih baik sehingga PRU-16 nanti dengan gesaan kepada mana- mana parti politik untuk meneruskan kemakmuran serta kesejahteraan negara demi rakyat keseluruhannya,” jelasnya.

Ditanya tentang komposisi jawatan dalam kabinet perpaduan, beliau juga mengharapkan lebih ramai wakil dari Sarawak diberi peluang menjawat jawatan timbalan menteri kelak.